Proses Vaksinasi Di PPV Pejabat Daerah Kecil Bario Dapat Sambutan Menggalakkan

RABU, 16 JUN 2021

BARIO: Proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pejabat Daerah Kecil Bario ini mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada penduduk setempat. 

Menurut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala sehingga hari ini seramai 200 lebih masyarakat di Daerah Kecil Bario ini mendapat suntikan COVID-19. 

“Siapa yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 walaupun belum mendaftar, boleh datang terus ke PPV ini untuk menerima vaksin. 

“Vaksin COVID-19 ini sangat diperlukan masyarakat kita kerana itu sahaja cara kita mengawal merebaknya jangkitan COVID-19 ini,” katanya semasa ditemui selepas meninjau proses vaksinasi di PPV Pejabat Daerah Kecil Bario pada Selasa. 

Dato Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menyeru masyarakat Penan yang masih belum mendapatkan vaksin untuk segera datang ke PPV Pejabat Daerah Kecil Bario bagi mendapatkan vaksin untuk melindungi diri daripada dijangkiti virus COVID-19. 

“Kepada saudara kita masyarakat Penan yang masih belum menerima vaksin, saya sangat menggalakan mereka untuk terima vaksin ini.

“Ini kerana beberapa buah kampung Penan di kawasan Mulu dan kawasan Telang Usan sudah dijangkiti COVID-19 dan kini dirawat di Hospital Miri. 

“Keadaan ini membuatkan saudara kita Penan perlu pergi dan mendapatkan vaksin COVID-19. Inilah sahaja cara kita nak selamatkan diri daripada jangkitan COVID-19,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0