Sarawak Tangguh Pelaksanaan Ibadah Qurban Tahun Ini

RABU, 16 JUN 2021

KUCHING: Majlis Islam Sarawak telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan ibadah qurban bagi tahun 1442H/2021M di negeri ini.

Menurut Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, langkah ini bagi mengelak kemudaratan kesan daripada pandemik COVID-19 yang masih kritikal di Sarawak.

“Keputusan ini merangkumi di seluruh Negeri Sarawak, kita tidak membenarkan sebarang aktiviti ibadah korban dijalankan di semua tempat termasuk di masjid dan surau serta aktiviti melibatkan individu ataupun keluarga,” katanya.

Tambah beliau, bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti qurban di luar negara adalah digalakkan.

“Kita lihat akhir-akhir ini ramai umat Islam melakukan aktiviti kebajikan melibatkan negara-negara Islam di luar negara.

“Sekiranya ada yang hendak melanjutkan aktiviti kebajikan berbentuk ibadah qurban di luar negara terutama di negara Islam yang memerlukan bantuan kita tidak halang, memang digalakkan melakukan ibadah qurban untuk agihkan kepada umat Islam di negara luar,” ujarnya.-EDISI UKAS