Dato’ Sri Nancy Sumbang Makanan Dan Minuman Di PPV Dewan Mesra Simunjan, Hargai Petugas Dan Penerima Vaksin COVID-19

KHAMIS, 17 JUN 2021

KUCHING : Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato’ Sri Nancy Shukri telah menyumbang air minuman serta makanan ringan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Mesra Simunjan dan RTC Munggu Lalang.

Sumbangan disampaikan oleh Pegawai dari Pejabat Khidmat Rakyat Kawasan Parlimen Batang Sadong, Wan Asnawi Wan Asiff bagi mewakili beliau, kepada Pegawai Kesihatan Daerah Simunjan selaku Ketua Penyelaras PPV Dewan Mesra Simunjan, Dr. Joshua Peterson Peter Legi, pada Rabu.

Dato Sri Nancy menerusi kiriman ucapannya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua penduduk yang telah divaksinasi atas kerjasama dan keprihatinan mereka membantu serta menyokong usaha kerajaan mengawal penularan COVID-19.

Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan beliau kepada petugas-petugas barisan hadapan termasuk petugas sukarelawan yang berkorban masa dan tenaga melaksanakan tanggungjawab yang diberikan demi kesejahteraan bersama. -EDISI UKAS