Dua Lagi PPV Akan Diaktifkan Dalam Masa Terdekat, Masih Ada Syarikat Dan Individu Langgar SOP PKP

KHAMIS, 17 JUN 2021

BINTULU: Dua lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan diaktifkan dalam terdekat bagi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 di Bahagian Bintulu.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata, PPV tersebut masing-masing di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Pusat Sukan Kidurong BDA. 

“PPV Auditorium BDA khusus untuk golongan peniaga dan penjaja Pasar Utama Bintulu, Pasar Malam Bintulu dan Pasar Tamu Bintulu termasuk keluarga mereka manakala PPV Pusat Sukan Kidurong BDA untuk penduduk di kawasan Sungai Plan dan RPR Kidurong Fasa 1 hingga Fasa 5,” katanya dalam sidang media di Hotel Promenade Bintulu pada Rabu. 

Katanya lagi, pihaknya telah mencadangkan pembukaan dua lagi PPV ini  kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk mendapatkan kelulusan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sarawak. 

Sehingga kini, Bahagian Bintulu mempunyai empat PPV masing-masing di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Dinner World Bintulu, Dewan Sukan Tatau dan Balai Raya Sebauh.

Dalam sidang media yang sama, Datuk Sri Tiong melahirkan rasa sedih dan kecewa kerana masih ada syarikat dan individu yang melanggar garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Ada pihak yang masih melepak di tempat awam selepas jam 8 malam dan masih banyak kereta di jalan raya. 

“Saya menggesa rakyat Bintulu untuk bekerjasama mengurangkan aliran trafik dan memerangi COVID-19,” ujarnya. 

Beliau turut mengingatkan pemilik syarikat bahawa SOP di bawah PKP membenarkan hanya 30 peratus tenaga kerja beroperasi di pejabat dengan 70 peratus bekerja dari rumah.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Datuk Sri Tiong menggesa syarikat logistik bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Bintulu dalam memudahkan urusan menyediakan kuota 50 pemandu lori untuk ujian calitan COVID-19 secara percuma setiap hari. -EDISI UKAS

Share
0