PRN-12 Sarawak Mesti Pertimbang Kesihatan Dan Keselamatan Rakyat: Tan Sri James Masing

KHAMIS, 17 JUN 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing menyatakan darurat berakhir pada 1 Ogos ini meletakkan Sarawak mesti mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) dalam tempoh dua bulan tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan.

Beliau memberitahu, imuniti kelompok 80 peratus yang diharapkan tidak dapat dicapai dan selepas 1 Ogos depan ianya tidak akan cukup baik bagi Malaysia untuk kembali ke kehidupan seperti sebelum pandemik COVID-19.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan undang-undang, demokrasi dapat dipraktikkan apabila darurat berakhir.

“Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan bahawa demokrasi dapat dipraktikkan dan parlimen boleh bersidang serta Pilihan Raya Umum dapat diadakan jika diperlukan.

“Bagi saya amalan demokrasi berparlimen ketika krisis kesihatan bukan yang terbaik dan ianya adalah keseimbangan antara demokrasi dan kehidupan rakyat,” katanya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak itu menambah, garis panduan tertentu mesti dipatuhi untuk mengadakan PRN-12 bagi mempertimbangkan kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Apabila langkah-langkah ini dilaksanakan, Suruhanjaya Pilihan Raya dapat menjangka jumlah pengundi menjadi rendah.

“Tetapi kita akan mempunyai kerajaan mandat dari rakyat kita.

“Oleh itu, kita kekal dengan peraturan undang-undang dengan mempraktikkan demokrasi berparlimen dan pada masa yang sama melindungi rakyat kita daripada bahaya akibat COVID-19,” jelasnya. –EDISI UKAS