KHAMIS, 17 JUN 2021
MIRI: ProtectHealth telah meluluskan empat buah klinik swasta di Bandaraya Miri untuk beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin Pengamal Perubatan Am Swasta (PPVGP) dengan kapasiti sebanyak 18 dos sehari yang dijalankan tiga kali seminggu seperti yang telah diperuntukkan.
Bagaimanapun, menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, jumlah dos yang ditentukan dan diluluskan ProtectHealth kepada klinik-klinik swasta ini adalah terlalu kecil iaitu hanya 54 dos sahaja bagi tempoh seminggu
“Sebenarnya, mengikut bilangan yang ditetapkan oleh ProtectHealth, PPVGP ini boleh diberi sehingga 90 dos vaksin seminggu sahaja.
“Namun, maklum balas yang kita terima hasil daripada tinjauan CITF Miri di klinik-klinik ini sebentar tadi, mereka boleh menampung dos yang lebih banyak.
“Misalnya, bagi klinik besar seperti Klinik Cheu ini mempunyai tiga orang doktor dan mampu memberikan vaksinasi sehingga 150 dos dalam seminggu iaitu antara 30 hingga 50 orang sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas membuat lawatan ke tiga buah PPVGP bersama COVID-19 Immunization Taskforce (CITF) Bahagian Miri pada Rabu.
Datuk Lee yang Menteri Pengangkutan Sarawak berharap ProtectHealth akan meluluskan tambahan dos vaksinasi kepada klinik-klinik swasta supaya mereka boleh membantu memberi vaksinasi kepada lebih ramai orang sekaligus boleh membantu PICK melakukan vaksinasi ini dengan secepat mungkin.
“Inilah pandangan dan juga rayuan daripada pasukan CITF Bahagian Miri di sini.
“Saya berharap ProtectHealth akan bertindak segera dengan menambah vaksinasi untuk kloinik-klinik swasta dan saya juga berharap di Miri lebih ramai klinik swasta kita akan menyertai Program Vaksinasi COVID-19 ini,” ujarnya.
Sehingga hari ini hanya empat buah klinik sahaja yang menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai PPVGP termasuk satu klinik yang baru sahaja diluluskan dan akan beroperasi pada 28 Jun nanti di mana ada 38 buah klinik swasta yang berdaftar sebagai Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) di Bahagian Miri. -EDISI UKAS