Tidak Perlu Tergesa-Gesa Ke PPV, Datang Ikut Masa Temu Janji Ditetapkan

KHAMIS, 17 JUN 2021

BINTULU: Penerima vaksin COVID-19 yang telah mempunyai temu janji diminta datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut masa yang telah ditetapkan seperti tertera di dalam aplikasi MySejahtera. 

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata, tidak perlu datang awal kerana ini akan menyebabkan PPV sesak dan menyebabkan proses vaksinasi terganggu. 

“Penerima vaksin tidak perlu tergesa-gesa untuk datang ke PPV. Penerima vaksin COVID-19 perlu datang waktu yang ditetapkan dan tidak perlu datang dua atau tiga jam lebih awal. 

“Sesetengah penerima vaksin datang seawal jam 6.00 pagi sedangkan temu janjinya pada jam 10.00 pagi atau tengah hari. 

“Apabila nama anda telah didaftarkan pada waktu yang ditetapkan untuk hadir, anda akan mendapat vaksin dan tidak ada berlakunya vaksin habis atau nama tidak ada dalam senarai penerima vaksin COVID-19,” katanya dalam sidang media di Hotel Promenade Bintulu pada Rabu.

Justeru, beliau menggesa mereka yang mendapatkan suntikan vaksin memberikan kerjasama kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sukarelawan MyVac di PPV agar proses vaksinasi berjalan lancar. 

Dalam pada itu, Datuk Tiong menambah, beliau telah berbincang dengan Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung untuk mewujudkan prosedur dua langkah yang akan dilakukan di PPV Dinner World apabila ia diaktifkan nanti. 

“Mungkin kita akan melakukan dua prosedur atau langkah di mana langkah satu akan mendapat borang dan kemudian terus diberikan vaksin. 

“Ini akan diikuti dengan langkah kedua iaitu mengemaskini aplikasi MySejahtera dan mendapatkan masa temu janji baharu untuk dos kedua. Ini adalah untuk mengurangkan masa pemprosesan mereka yang akan diberi vaksin dan prosedur dua langkah itu akan dijalankan di PPV Dinner World,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share
0