107,800 Dos Vaksin Jenis Sinovac Tiba Di Miri

JUMAAT, 18 JUN 2021

MIRI: Penghantaran kumpulan ketiga 23,880 dos vaksin jenis Sinovac dengan menggunakan pesawat Syarikat Malaysia Airline (MAS) telah selamat tiba di Lapangan Terbang Miri (LTM) pada Khamis. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Benca Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, selepas ini sebanyak 38,720 dos vaksin jenis yang sama akan sampai pada Jumaat dengan menggunakan jalan darat melalui Bintulu.

“Penghantaran vaksin COVID-19 jenis Sinovac kumpulan pertama sebanyak 21,920 dos pada 10 Jun 2021 dan penghantaran kumpulan kedua sebanyak 23,280 pada 15 Jun lepas.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima Bahagian Miri adalah sebanyak 107,800 dos. 

“Jumlah ini adalah melebihi apa yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 7 Jun lepas,” katanya menerusi kenyataan media selepas melakukan tinjauan di PPV Dewan Dato’ Lee Teck Fook Riam Road Secondary School pada Khamis.

Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, penghantaran kumpulan keempat vaksin COVID-19 yang akan sampai pada Jumaat dengan jalan darat melalui Bintulu memberikan kelegaan kepada JPBB Miri bagi menampung keperluan di lima Daerah iaitu Daerah Miri, Daerah Subis, Daerah Marudi, Daerah Telang Usan dan Daerah Beluru. 

Turut hadir Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri; Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Pegawai Daerah Miri Geraldine Janely Doris Peter Kulai, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol dan Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Miri Mohamad Afizi Salam. -EDISI UKAS

Share
0