Hari Pertama Proses Vaksinasi COVID-19 Di PPV Bergerak SK Bukit Arip Berjalan Lancar

JUMAAT, 18 JUN 2021

SELANGAU: Proses vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak SK Bukit Arip pada Isnin berjalan lancar walaupun sedikit perlahan pada sebelah pagi.

Keadaan ini disebabkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat persediaan dari segi susun atur dan kelengkapan peralatan dan keadaan mula berjalan lancar pada sebelah petang yang dibantu anggota Bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kakitangan Pejabat Daerah Selangau. 

PPV Bergerak ini merupakan yang kedua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus dan dikhususkan kepada penduduk rumah panjang kawasan Sungai Arip, Sungai Anak, Sungai Bawang dan Sungai Tau.

Salah seorang penerima vaksin yang ditemui Azuria Anas yang bertugas di syarikat perladangan kelapa sawit melahirkan rasa gembira kerana telah berjaya  menerima vaksin COVID-19 dos pertama. 

“Saya berasa amat bertuah kerana telah menerima vaksin dos pertama walaupun berjuta orang rakyat di luar sana masih belum menerimanya. 

“Di sini, saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengadakan pendekatan pemberian vaksin ke kawasan luar bandar. 

“Ketika suntikan vaksin dilakukan, saya tidak ada merasakan apa-apa kesan dan menyeru orang ramai tampil menerima vaksin bagi mengelak penularan penyakit COVID-19,” katanya. 

Sementara itu, Sulong Sunang yang berusia 93 tahun dan merupakan penerima vaksin COVID-19 paling tua di daerah ini turut berkongsi pengalaman menerima suntikan vaksin ini. 

“Suntikan vaksin dos pertama ini tidak memberikan apa-apa kesan sampingan atau berasa sakit ketika diberikan suntikan.

“Saya berharap suntikan ini dapat membendung jangkitan wabak COVID-19 daripada terus merebak kepada golongan tua seperti saya,” katanya. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak merangkap ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai sebelum ini telah hadir dan meninjau prose vaksinasi PPV Bergerak SK Bukit Arip.

Hadir sama Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Selangau Dr. Blitzer Biak Mussin dan Penghulu Lasit Bajieng. -EDISI UKAS

Share
0