Hari Pertama Proses Vaksinasi Di PPV Dewan Dato’Lee Teck Fook Riam Road Secondary School Berjalan Lancar

JUMAAT, 18 JUN 2021

MIRI: Proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato’Lee Teck Fook Riam Road Secondary School pada hari pertama berjalan lancar.

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Benca Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin, segala kemudahan yang ada di PPV ini membolehkan proses vaksinasi berjalan lancar dan tidak mempunyai masalah untuk menampung kapasiti harian sehingga 1,500 orang.

“Kita juga bersama-sama pihak PDRM untuk melihat aliran trafik di sini dan segalanya telah diteliti bagi memastikan kelancaran trafik serta operasi aktiviti pemberian vaksin di PPV ini. 

“Saya juga sekali lagi ingin mengingatkan orang ramai agar hadir ke PPV mengikut janji temu yang telah ditetapkan melalui aplikasi MySejahtera dan seterusnya hadir untuk mendapatkan dos ke-2 seperti tarikh yang telah ditetapkan oleh petugas PPV,” katanya menerusi kenyataan media selepas melakukan tinjauan di PPV Dewan Dato’ Lee Teck Fook Riam Road Secondary School pada Khamis.

Pada masa sama, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut menyaksikan penyerahan 20 unit komputer riba oleh COVID-19 Immunization Taskforce (CITF) kepada Pengarah Hospital Miri untuk kegunaan di PPV ini. 

Selain itu, 40 orang sukarelawan telah ditempatkan di PPV ini bagi membantu melancarkan lagi proses pemberian vaksin di PPV ini.

Tambah Datuk Lee lagi, mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas (Daerah Miri sahaja) dan masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 atau pun masih belum menerima notifikasi temu janji vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera, sila berhubung terus dengan JPBB Miri melalui Whatsapp di nombor 011-59284348 atau 011-59424290 dengan menyertakan butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat lengkap untuk tujuan dikoordinasikan oleh JPBB Miri.

“Kini kita menggunakan kaedah hybrid bagi pendaftaran vaksin COVID-19 di mana pendaftaran secara manual juga dilakukan di samping menggunakan aplikasi MySejahtera. 

“Sila hubungi pejabat Residen Bahagian Miri melalui aplikasi whatsapp seperti nombor yang telah ditetapkan,” tambahnya. 

Turut hadir Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri; Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Pegawai Daerah Miri Geraldine Janely Doris Peter Kulai, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol dan Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Miri Mohamad Afizi Salam. -EDISI UKAS

Share
0