2,000 Lagi Dos Vaksin Dibekalkan Untuk Daerah Pantu

SABTU, 19 JUN 2021

SRI AMAN: Sejumlah 2,000 lagi dos vaksin COVID-19 telah dibekalkan untuk daerah Pantu dan menjadikan jumlah semua bekalan yang diterima ialah sebanyak 3,200 dos.

Pada Jumaat, seramai 285 orang telah menerima vaksin jenis Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Pantu dan menjadikan jumlah individu yang sudah divaksin sehingga kini adalah seramai 1,995 orang.

Tinjauan yang dilakukan juga mendapati semua penerima vaksin hadir mengikut temu janji dibuat mengikut masa dan tarikh yang ditetapkan.

Para petugas barisan hadapan turut memastikan semua penerima vaksin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, masyarakat di Pantu juga semakin sedar akan kepentingan suntikan vaksin bagi mengawal penularan wabak COVID-19. -EDISI UKAS