Ahli Parlimen Tanjong Manis Tinjau Dua Pusat Pemberian Vaksin

SABTU, 19 JUN 2021

TANJONG MANIS: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab pada Jumaat turun padang untuk meninjau proses vaksinasi di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Beliau memulakan lawatannya di PPV Klinik Kesihatan Tanjung Manis di mana pusat itu menerima 200 orang dari kawasan Rumah Panjang Wun Bakerkong, Rumah Panjang Dadat serta Kampung Serdeng.

Yusuf juga tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan semua penerima vaksin yang hadir.

Beliau dalam pada itu berharap proses pemberian vaksin berjalan lancar kepada seluruh masyarakat khususnya di kawasan Tanjong Manis dan seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok. 

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas di PPV atas usaha dan kerjasama dalam menjayakan proses pemberian vaksin.

Dalam masa yang sama, beliau telah meluluskan permohonan bagi set PA system kepada Pejabat Daerah Tanjung Manis untuk kegunaan siaraya di PPV.

Sementara itu, Yusuf turut meninjau PPV di Klinik Kesihatan Betanak untuk mengetahui perkembangan terkini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di situ.

Dalam lawatan itu, beliau telah diberikan penerangan ringkas mengenai proses pemberian vaksin di PPV tersebut oleh Dr. Mohamad Hasnol Zahari.

Yusuf turut menyeru semua masyarakat agar hadir pada temujanji yang dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin. 

Beliau juga menyumbang satu set komputer untuk melicinkan lagi kerja menyemak senarai dan rekod penerima vaksin dan sebuah mini freezer untuk menyimpan ubat-ubatan yang diperlukan di klinik tersebut. – EDISI UKAS