Datu Ik Pahon Pengerusikan Mesyuarat JPBB Miri Bagi Pembukaan PPV Industri Dan Sektor Lain

SABTU, 19 JUN 2021

MIRI: Satu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah diadakan bagi menyelaras Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri dan Sektor Lain di Miri.

Mesyuarat telah dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Ik Pahon Joyik di Lembaga Pelabuhan Miri pada Jumaat. 

Terdahulu, JPBB Miri bercadangan membuka PPV Industri dan sektor lain bagi merancakkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi mencapai matlamat imuniti kelompok sebanyak 80 peratus. 

Antara yang dibincangkan kerjasama JPBB Miri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan syarikat swasta dan kilang dalam sektor seperti perkapalan, minyak dan gas asli, pelancongan, pembinaan, pengangkutan, perniagaan, pertanian dan perkilangan dalam memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada pekerja mereka. 

Selepas mesyuarat, Datu Ik Pahon telah meninjau dan melawat cadangan PPV Industri dan sektor lain bagi melihat sendiri kemudahan dan keperluan yang diperlukan dalam mewujudkan PPV ini. 

Hadir sama wakil Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri  Serawa Budol. -EDISI UKAS

Share
0