Douglas Dengar Taklimat Semasa COVID-19 Bahagian Miri, Lawat PPV Dewan Masyarakat Bekenu Dan PPV Eastwood Valley

SABTU, 19 JUN 2021

MIRI: Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengadakan lawatan kerja ke Bahagian Miri pada Jumaat.

Lawatan itu bertujuan meninjau beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan mendengar taklimat berkenaan situasi semasa dan perkembangan penularan wabak pandemik COVID019 di Miri yang disampaikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri.

Taklimat telah disampaikan Pegawai Kesihatan Bahagian, Jabatan Kesihatan Bahagian Dr. P. Raviwharmman Packierisamy. 

Terdahulu Datuk Amar yang juga Menteri Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak pada sebelah pagi telah melawat ke PPV Dewan Masyarakat Bekenu yang terletak 42 kilometer dari Bandaraya Miri dan ke PPV Eastwood Valley sebelum menghadiri taklimat pada sebelah petangnya. 

Pada Jumaat, seramai 1,000 orang penerima vaksin COVID-19 menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Masyarakat Bekenu.

Dalam kedua-dua lawatan itu, beliau telah melawat kaunter pendaftaran, bilik vaksinasi dan ruang menunggu bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin dan beramah mesra dengan penerima vaksin COVID-19 yang terdiri daripada warga emas dan golongan rentan yang berisiko tinggi. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar) selaku Timbalan Pengerusi JPBN Sarawak Datu Ik Pahon Joyik, Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Dato Dr Penguang Manggil, Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Ahli Dewan Negara Senator Dr Nuing Jeluing, Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu. -EDISI UKAS

Share
0