SABTU, 19 JUN 2021
SERIAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian menerima tujuh unit komputer riba untuk kegunaan petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Serian.
Sebanyak lima unit komputer riba adalah sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, manakala dua unit lagi sumbangan daripada Penghulu Lee Choi Joo.
Sementara itu, Residen Bahagian Serian merangkap Pengerusi JPBB Serian, Tuah Suni memaklumkan terdapat penambahbaikan dari segi fasiliti di PPV Serian seperti penambahan khemah, kerusi dan sukarelawan yang membantu proses vaksinasi berjalan dengan lancar.
Beliau turut memaklumkan bahawa PPV Serian menggunakan dua kaedah iaitu kaedah hibrid dan senarai MySejahtera.
“Jadi, saya menyeru kepada penerima yang sudah ada temu janji sahaja dapat mendapatkan suntikan vaksin, manakala sesiapa yang belum terima temu janji, harap bersabar kerana giliran anda akan tiba,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membekalkan fasiliti seperti pihak Majlis Daerah Serian, dan kepada petugas yang membekalkan tenaga kawalan keselamatan seperti Polis, RELA, ATM, APM, JKR, Pejabat Daerah Serian dan Pusat Khidmat Bukit Semuja yang membekalkan sukarelawan.
“Terima kasih juga kepada ADUN Bukit Semuja dan Penghulu Lee Choi Joo yang telah menyumbang komputer riba untuk kegunaan PPV Serian.
Dalam pada itu, John Ilus memaklumkan Pusat Khidmat Bukit Semuja menyediakan 20 orang sukarelawan dari Kelab Rekreasi Bukit Semuja (BUSEREC) bagi membantu petugas-petugas di PPV Serian.
Namun katanya, mereka perlu menjalani prosedur-prosedur yang ditetapkan sebelum bertugas di PPV berkenaan.
“Saya berharap dengan adanya sukarelawan dan sumbangan komputer riba ini, maka kita harap proses, prosedur dan perjalanan vaksinasi di PPV Serian berjalan dengan lebih lancar, teratur dan mencapai sasaran.
“Kepada penduduk di Bahagian Serian yang masih menunggu untuk divaksin, harap bersabar dan ikut giliran yang telah ditetapkan khususnya bagi program hibrid,” jelasnya.
Hari ini seramai 1,038 penerima vaksin di PPV Serian, yakni 344 penerima dos pertama dan 694 penerima dos kedua vaksin. -EDISI UKAS