Pastikan Politik Sarawak Stabil – Dato Sri Dr. Stephen Rundi

SABTU, 19 JUN 2021

BINTULU: Senario semasa politik yang berlaku pada masa ini dilihat sebagai iklim yang tidak sihat di negara ini.

Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom menyeru masyarakat di Sarawak khususnya Bahagian Bintulu agar tidak campur tangan atau terpengaruh dengan senario politik negara yang tidak menentu pada masa ini.

“Apa yang perlu adalah kestabilan politik untuk negeri Sarawak terus maju.

“Keadaan politik di Malaysia ketika ini kurang menentu. Semua mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menyampaikan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena di Pejabat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) pada Jumaat. 

Seramai 22 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) dalam kawasan Sebauh menerima geran MRP masing-masing dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM280,000.

Ujar Dato Sri Dr. Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena lagi, kestabilan politik penting dalam menentukan masa depan ekonomi dalam negeri dan negara.

“Orang luar khususnya mereka yang terlibat dalam perdagangan seperti pelabur-pelabur melihat kestabilan politik untuk datang melabur. 

“Mereka membawa pelaburan yang berjuta dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. 

“Inilah yang paling penting bagi memastikan ekonomi negeri dan negara berkembang,” katanya. 

Justeru, rakyat perlu bijak menilai apa yang terbaik untuk negeri dan negara termasuk masa depan anak-anak dan cucu mereka. 

Hadir sama Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Jenny Bangga, Pemanca Limin Anai dan Penghulu Banta Baong. -EDISI UKAS

Share
0