Program Vaksinasi Luar Bandar Dipergiat, Berjalan Secara Aktif

SABTU, 19 JUN 2021

MIRI: Kerajaan Sarawak kini menggandakan usaha untuk memberikan vaksin kepada penduduk luar bandar sebelum Ogos tahun ini yang sedang dijalankan secara aktif dan teratur.

Justeru, program vaksinasi kini dijalankan setiap hari di balai raya, sekolah dan klinik kesihatan di seluruh negeri termasuk menggunakan pasukan bergerak dari Jabatan Kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkesempatan melawat ke Dewan Komuniti Beluru pada Jumaat dan beliau amat berpuas hati dengan program vaksinasi disitu yang diatur dengan sangat baik serta masyarakat memberikan kerjasama yang baik terhadap seruan kerajaan.

“Saya sangat gembira mereka menyedari kepentingan vaksin kepada mereka,” katanya.

Datuk Amar Douglas memberitahu, Daerah Beluru mempunyai lima buah pusat vaksinasi termasuk PPV Dewan Komuniti Bekenu yang mampu memberikan suntikan sejumlah 1,000 dos setiap hari.

Dalam pada itu, beliau menyeru pemimpin masyarakat dari kawasan luar bandar untuk terus menasihati penduduk untuk tampil mendapatkan vaksin bagi melindungi diri mereka sendiri.

Datuk Amar Douglas turut menasihati penduduk di kawasan pedalaman untuk tidak perlu risau mengenai pendaftaran serta menyarankan mereka untuk datang terlebih dahulu dan kemudian baru mendaftar seperti yang disarankan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.-EDISI UKAS

Share
0