Kerajaan Sarawak Akan Pastikan Semua Rakyat Divaksin Menjelang Ogos

SABTU, 19 JUN 2021

MIRI: Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha untuk memastikan semua rakyat diberi vaksin menjelang Ogos ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak , Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, walaupun negeri ini telah diakui sebagai negeri yang mencatat jumlah suntikan vaksin COVID-19 terbanyak namun masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Kami ingin memastikan bahawa semua rakyat iaitu 2.2 juta rakyat Sarawak diberi vaksin sepenuhnya menjelang Ogos tahun ini.

“Kami telah mengatur infrastruktur kami sejak dua bulan yang lalu dan sekarang kami berada dalam mod yang sangat aktif untuk melancarkan program vaksinasi di seluruh negeri,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kagum dan telah mengucapkan tahniah atas pencapaian itu serta menjanjikan penghantaran vaksin lebih banyak di masa akan datang.

Datuk Amar Douglas berkata lagi, pencapaian itu adalah disebabkan sokongan kuat, semangat berpasukan dan pengorbanan semua yang terlibat, khususnya petugas barisan hadapan.

“Kami juga sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sangat menyokong malah menyediakan dana untuk kita membeli vaksin kita sendiri,” ujar beliau.-EDISI UKAS