SABTU, 19 JUN 2021
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Perubatan Normah di Kuching pada Sabtu, 12 Jun lepas.
Dalam satu hantaran di akaun Instagram rasmi miliknya, beliau memberitahu, dos pertama telah diterima pada 17 Mei yang lalu.
Beliau turut berkongsi pengalamannya semasa proses vaksinasi termasuk menjalani peringkat pemerhatian selama 30 minit bagi mengesan sebarang kesan sampingan selepas divaksin.
“Semuanya berjalan lancar dan saya tidak mempunyai kesan sampingan yang besar dari dos vaksinasi pertama dan kedua,” katanya.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa bekerja keras dalam perjuangan menentang wabak COVID-19 yang semakin rumit.
Malah beliau juga menyeru rakyat Sarawak untuk mendaftar sebagai penerima vaksin dalam memastikan semua rakyat di negeri ini diberi vaksin sepenuhnya menjelang Ogos kelak.
“Kita perlu menjaga Sarawak dengan baik dan hanya dengan vaksinasi, kita dapat berjuang dalam memerangi COVID-19,” katanya. – EDISI UKAS