Imigresen Sarawak Berjaya Tangkap 22 PATI Di Tabuan Desa

AHAD, 20 JUN 2021

KUCHING: Seramai 22 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditangkap dalam satu operasi yang dilakukan oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Operasi Khas (Quick Response Team) Jabatan imigresen Malaysia Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Menteri,Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, daripada 22 orang yang ditahan itu, lapan adalah lelaki dan 14 wanita.

Katanya, serbuan dilakukan di sebuah premis di Tabuan Desa yang menepati struktur dalam video yang tular baru-baru ini.

“Satu risikan dan intipan telah dibuat dan hasil maklumat yang diperolehi mendapati lokasi kejadian tersebut bukan bertempat di belakang hospital swasta seperti yang di tular di media sosial

“Bertindak melalui hasil maklumat dan risikan, sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Operasi Khas (Quick Response Team) Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak telah membuat serbuan di sebuah premis di Tabuan Desa yang menepati struktur dalam video dan dapati dalam premis sedang menjalankan perniagaan memproses sarang burung walit.

“Semasa serbuan dilakukan kesemua warga asing tersebut dijumpai sedang bersembunyi di sebuah bilik di tingkat tiga premis serta tiga orang warga tempatan yang dipercayai majikan juga turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Keselamatan menambah, hasil siasatan awal mendapati ke semua warga asing yang ditahan telah masuk ke Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan dari sebuah ladang di kawasan Kampung Biawak dan kemasukan mereka disyaki telah diuruskan oleh warga tempatan.

“Siasatan awal juga mendapati kesemua warga asing tersebut telah dibawa menggunakan sebuah lori dari daerah Lundu untuk ke Kuching dan usaha menjejak pemandu lori tersebut sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Kesemua warga asing tersebut dibawa untuk pemeriksaan COVID-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan mereka didapati telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen dan Akta Pasport 1966 dan warga tempatan (Sarawak) telah ditahan untuk membantu siasatan.-EDISI UKAS

Share
0