AHAD, 20 JUN 2021
LIMBANG: Pembukaan dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau telah memberikan kemudahan kepada penduduk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah membuka PPV Pusat Kebudayaan Bisaya Batu Danau dan Dewan Masyarakat Medamit.
“Kedua-dua PPV ini telah dibuka bermula pada 15 Jun 2021 yang masing-masingnya menetapkan sasaran seramai 100 orang untuk divaksin.
“Bilangan orang yang menerima vaksin juga telah ditingkatkan pada hari kedua ke 150 orang dan hari seterusnya.
“Saya berpuas hati dengan prestasi kehadiran penduduk yang datang untuk mendapatkan vaksinasi di kedua-dua PPV itu,” katanya semasa ditemu bual wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas menyampaikan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa I 2021 di Pusat Khidmat ADUN Batu Danau pada Khamis.
Seramai 28 orang yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan kelab menerima cek yang keseluruhanny berjumlah RM377,000.
Dalam pada itu, Palus menyeru dan memohon agar penduduk kampung yang berumur 18 tahun ke atas dan kategori layak untuk mendapatkan vaksin agar segera berdaftar dan menjalani program vaksinasi yang dianjurkan.
Ini sekaligus membolehkan imuniti kelompok dapat dicapai dan sekaligus membendung penularan COVID-19.
Sementara itu, Ketua Masyarakat Iban merangkap Pengerusi Tuai-Tuai Iban Limbang (GETTIL) Temenggong Willie Merum Liaw mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ADUN Batu Danau dalam menyalurkan peruntukkan kepada GETTIL.
“Peruntukkan yang disalurkan setiap tahun ini adalah untuk membiayai atau menampung kos pelaksanaan aktiviti dan keperluan kebajikan GETTIL. Contohnya, memberi sumbangan kepada masyarakat di rumah panjang yang terjejas akibat bencana atau musibah seperti banjir dan pelaksanaan mesyuarat.
“Pada Mac yang lalu Rh Manggi ak Igom, Kampung Menuang Baru telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat terdapat kontak positif COVID-19. GETTIL memanfaatkan peruntukkan yang diberikan oleh ADUN Batu Danau memberi sumbangan berupa barangan makanan dalam usaha membantu penduduk di rumah panjang berkenaan.
“Dalam pada itu, saya menyeru kepada Tuai-tuai rumah panjang agar memastikan anak-anak buah di kawasan jagaan masing-masing untuk berdaftar sebagai penerima vaksin dan tidak terpengaruh berita palsu yang mengatakan kesan negatif daripada suntikan vaksin.
“Usah bimbang dan takut untuk divaksin kerana saya sendiri telahpun mendapat suntikan vaksin COVID-19,” katanya.
Bagi Ketua Kaum Kampung Ranggu Mandan Malek dan Kampung Lembuak Kampung Lembuak James Amat, mereka menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan GPS dan ADUN Batu Danau atas keprihatinan untuk menyalurkan peruntukkan kepada setiap JKKK.
“Peruntukkan yang diberikan pada setiap tahun ini amat bermakna dalam menjayakan beberapa aktiviti kemasyarakatan dan untuk memenuhi keperluan kebajikan penduduk kampung,” katanya.
Mengenai program vaksinasi, mereka meminta setiap komuniti Bisaya berdaftar dan menjalani Program Imunisasi COVID-19 yang dianjurkan demi memastikan imuniti kesihatan dan keselamatan sejagat. -EDISI UKAS