PPV Arena Petanque Jepak, PPV Industri Kelab Kidurong Bintulu Siap Sedia Untuk Beroperasi

AHAD, 20 JUN 2021

BINTULU: Pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Arena Petanque Jepak hanya menunggu kelulusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat berkata Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sarawak akan menghantar surat kepada MOSTI bagi mendapatkan kelulusan untuk beroperasi.

“PPV Arena Petanque Jepak telah berada dalam siap sedia untuk diaktifkan dengan segala persediaan termasuk kerja-kerja penguahsuaian telah dilakukan dan lokasinya juga amat strategik dan bersesuaian. 

“Pembukaan PPV ini bagi memudahkan penduduk di kawasan Jepak menerima suntikan vaksin dengan menyasarkan 400 orang menerima suntikan vaksin sehari.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan penyerahan peralatan peti penyimpan vaksin dan peralatan perubatan untuk seluruh PPV Bintulu oleh Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing kepada Menteri Bertanggungjawab JBBB Bintulu yang juga Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom di Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu pada Sabtu. 

Ini merupakan sumbangan pelbagai pihak menerusi Tabung COVID–19  Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu. 

Dalam perkembangan berkaitan, Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu memberitahu pihaknya masih menunggu ‘lampu hijau’ CITF Sarawak untuk PPV Industri Kelab Kidurong Bintulu untuk beroperasi.

“PPV Industri Kelab Kidurong Bintulu yang merupakan PPV Industri Kedua sudah bersedia untuk beroperasi dan telah membuat lawatan serta mengadakan simulasi pada Jumaat dan mendapati lokasi ini sesuai sebagai PPV Industri. 

PPV Industri kedua ini adalah khusus bagi pekerja sektor industri minyak dan gas terdiri daripada Petronas dan anak-anak syarikatnya termasuk Shell dan syarikat kontraktor mereka dan dianggarkan hampir 10,000 akan menerima suntikan vaksin dengan vaksinatornya dari ProtectHealth Corporation.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Muhammad Yakub Kari. -EDISI UKAS

Share
0