PPV Dewan Universiti Curtin Ganti PPV Dato Permaisuri Miri Bermula 20 Jun Ini

AHAD, 20 JUN 2021

MIRI: Dewan Universiti Curtin akan menggantikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dato Permaisuri Miri bermula Ahad, 20 Jun 2021. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Sabtu selepas mengadakan tinjauan ke Dewan Universiti Curtin berkata, keputusan ini dilakukan ekoran daripada ruang menunggu yang terhad dan kekangan tempat letak kereta di Dewan Dato Permaisuri. 

“Pengurusan Universiti Curtin telah bersetuju untuk membantu dan melaksanakan tangungjawab sosial korporat dengan menjadikan Dewan Universiti Curtin sebagai PPV menggantikan PPV Dato Permaisuri Miri.

“Hasil tinjauan dan perbincangan di antara JPBB Miri bersama agensi-agensi utama dan Pengurusan Universiti Curtin telah mencapai kata sepakat dan keputusan segera diambil untuk menukarkan lokasi PPV Dewan Dato Permaisuri ke Dewan Universiti Curtin. 

“Kerjasama dan tenaga kerja daripada semua agensi akan digunakan untuk melaksanakan urusan perpindahan ini dan Dewan Universiti Curtin akan mula beroperasi pada hari Ahad, 20 Jun 2021,” katanya. 

PPV Dewan Universiti Curtin ini berupaya beroperasi dengan kapasiti 1,500 dos sehari dan akan beroperasi dari jam 8:00 pagi hingga 8:00 malam Isnin hingga Ahad.

Sehubungan itu, penerima-penerima vaksin yang dijadualkan pada hari Ahad 20 Jun 2021 dan hari-hari seterusnya, Bilik Gerakan Vaksin akan melaksanakan panggilan telefon untuk memaklumkan berkenaan pertukaran lokasi tersebut. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Kapten (PA) Usman Harton dan Pegawai RELA Daerah Miri dan wakil dalam JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share
0