AHAD, 20 JUN 2021
LINGGA : Simbolik Program Sanitasi untuk semua rumah dalam DUN Lingga telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Simoi Peri bertempat di Kampung Majid Baru, pada Sabtu.
Menurut Simoi, inisiatif seumpama itu adalah bagi membantu kerajaan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 terutama melibatkan penduduk di kawasan kampung.
Jelasnya sebelum ini, peruntukan sebanyak RM300,000 telah disalurkan kepada 79 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Lingga untuk membeli keperluan seperti pelitup muka, cecair pencuci tangan , bahan pencuci dan mesin nyahkuman untuk kegunaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Untuk itu, aktiviti sanitasi dan pengagihan sumbangan keperluan tersebut sedang rancak dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan masing-masing.