5,369 Penduduk Dalat Telah Divaksinasi

ISNIN, 21 JUN 2021

DALAT: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan di daerah Dalat telah berjaya memvaksinasi seramai 5,369 penduduk atau bersamaan dengan 51 peratus setakat ini.

Ianya masih diteruskan pada Isnin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan Dalat di mana hari kesembilan program itu berjaya memberi vaksin kepada seramai 380 orang lagi penduduk.

Penerima yang terdiri daripada warga emas dan orang dewasa telah awal memenuhi PPV berkenaan untuk menerima vaksin dan proses vaksinasi berjalan lancar dibantu para sukarelawan, kakitangan Pejabat Daerah Dalat dan agensi-agensi lain.

Mereka juga bersyukur kerana telah mendapatkan suntikan dos pertama dan bersedia untuk menerima suntikan kedua pada tarikh temujanji dos kedua nanti. – EDISI UKAS