ADUN Jepak Zahirkan Ucapan Terima Kasih Atas Pembukaan PPV Klinik Kesihatan Jepak

ISNIN, 21 JUN 2021

BINTULU: Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jepak telah memberikan kemudahan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak. 

Sehubungan itu, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip dalam kenyataan medianya pada Sabtu mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyediakan PPV Klinik Kesihatan Jepak terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Dengan adanya PPV Klinik Kesihatan Jepak di Kampung Jepak ini akan memudahkan orang kampung dan juga rumah panjang di sekitarnya menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya. 

Terdahulu Datuk Talib telah melawat PPV Kampung Jepak, melawat tapak cadangan PPV Kampung Kuala Tatau, Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Warisan Jepak dan SJR Kampung Kuala Tatau.

Ujar Datuk Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi awatankuasa Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat atas reaksi yang positif dan cepat dan proaktif dalam mengambil tindakan terhadap permohonan dan cadangan masyarakat untuk mewujudkan PPV Klinik Kesihatan Jepak di Kampung Jepak ini. 

“Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion menyokong usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi di DUN Jepak khasnya dan Bahagian Bintulu amnya.” ujarnya. 

Turut diucapkan terima kasih ialah pegawai di Klinik Kesihatan Jepak Dr. Alif dan Dr. Aini atas kerjasama dan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat di PPV Kampung Jepak, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan PBB DUN Jepak dan individu yang bermurah hati menghulur tenaga dan sumbangan  serta memainkan peranan mereka dalam menjayakan usaha ini. -EDISI UKAS

Share
0