ATM Mula Laksana Program Vaksinasi COVID-19 Di Ba’kelalan

ISNIN, 21 JUN 2021

MIRI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula menggerakkan pasukan perubatannya untuk melaksanakan program vaksinasi COVID-19 di Ba’kelalan pada Isnin.

Penghantaran pasukan berkenaan adalah lanjutan daripada pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kem Muara Tuang mengenai pelaksanaan ‘Combat Medic Vaccination Team’ ATM (CMVT ATM) pada 19 Jun lepas.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen Infantri memberitahu, pasukan terdiri daripada dua doktor bersama tujuh anggota paramedik itu berlepas ke Ba’kelalan dari Lapangan Terbang Miri menaiki helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pasukan ini dijangka memulakan proses vaksinasi bermula 22 hingga 27 Jun depan melibatkan penduduk di Ba’kelalan dan Long Semadoh dengan sasaran lebih 1,000 penerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Tambah kenyataan sama, program itu seiring dengan tema Hari Tentera Darat ke 88 iaitu Sinergi Tentera Darat dan Rakyat, Tunjang Kedaulatan Negara.

“Kolaborasi formasi 1 Divisyen Infantri bersama kerajaan Sarawak melaksanakan pemberian vaksin di PPV Outreach itu dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan pedalaman sekali gus membantu mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sarawak,” katanya. –EDISI UKAS