Kemudahan Di PPV Klinik Kesihatan Jambatan Suai Ditambah Baik

ISNIN, 21 JUN 2021

SEBAUH: Pertambahan jumlah penerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jambatan Suai telah menyebabkan ruang menunggu tidak dapat menampung kehadiran penduduk. 

Sehubungan itu, Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom bersetuju menambah kemudahan di PPV Klinik Kesihatan Jambatan Suai dengan menambah beberapa buah kanopi. 

Ini susulan daripada PPV tersebut mula memberikan suntikan vaksin kepada pekerja-pekerja syarikat perladangan berhampiran.

Pada Sabtu, Dato Sri Dr Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena telah mengadakan lawatan dan tinjauan ke PPV COVID-19 di PPV Klinik Kesihatan Jambatan Suai bagi memantau sendiri kelancaran program vaksinasi di kawasan itu. 

Dalam tinjauan itu, beliau turut menerima maklum balas dan respon daripada penduduk dan pegawai kesihatan yang bertugas mengenai status semasa pemberian vaksin ini dan cara PPV di Klinik Kesihatan Jambatan Suai mengendalikan program vaksinasi. 

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan walaupun telah menerima suntikan vaksin COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0