Kes Positif COVID-19, JPBB Miri Wujudkan PKRC Taman Negara Mulu

ISNIN, 21 JUN 2021

MIRI: Susulan beberapa kes positif COVID-19 yang dikesan di Mulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah menghantar pegawai kesihatan dan perubatan ke Mulu pada Ahad. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Ahad berkata, satu penerbangan “Mercy Flight” telah dilakukan menggunakan Pesawat AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menghantar tiga orang daripada Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri dan empat orang daripada Hospital Miri beserta dengan barangan perubatan. 

“Memandangkan Mulu merupakan kawasan yang jauh dan tiada kemudahan jalan darat, keputusan telah dibuat oleh PKB Miri bersama dengan Hospital Miri untuk mendirikan Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) COVID-19 di kawasan Mulu. 

“Pasukan perubatan akan melakukan siasatan, saringan COVID-19, rawatan serta pemantauan di PKRC Taman Negara Mulu,” katanya. 

Pemilihan Taman Negara Mulu dibuat selepas mendapat permohonan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala dan Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf. 

Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, pihak pengurusan Taman Negara Mulu telah bersetuju untuk menggunakan fasiliti di bawah seliaan mereka untuk tujuan PKRC COVID-19 sebagai tanggungjawab sosial korporat.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy dan Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu. -EDISI UKAS

Share
0