Pengoperasian PPV Universiti Curtin Miri Berjalan Lancar

ISNIN, 21 JUN 2021

MIRI: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Curtin Miri merupakan sebuah PPV yang baharu ditubuhkan pada Ahad bagi menggantikan PPV Dewan Dato Permaisuri.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, penggantian ini telah mengambil kira dari segi faktor ruang tempat letak kereta yang luas dan ruang menunggu yang mampu menampung kapasiti vaksinasi 1,500 sehingga 2,000 dos sehari.

“Buat permulaan, PPV Dewan Universiti Curtin ini berupaya untuk menampung kapasiti 1,500 dos sehari dan beroperasi dari jam 8:00 pagi hingga 8:00 malam dan dari Isnin hingga Ahad,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPV Curtin Universiti untuk meninjau suasana dan keadaan Program Vaksinasi COVID-19 pada Ahad. 

Pemindahan PPV Dewan Dato Permaisuri ke PPV Universiti Curtin hanya mengambil masa singkat iaitu kurang daripada 24 jam dan ini membolehkan PPV Universiti Curtin untuk menampung 1,500 penerima vaksin.

Hasil tinjauan itu, Datuk Lee berpuas hati dengan pengaturan dan aliran pengoperasian di PPV tersebut yang berjalan dengan lancar dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak sekali lagi mengingatkan orang ramai yang mendapat temu janji vaksin perlu hadir 15 hingga 30 minit lebih awal daripada masa temu janji. 

“Bagi orang yang telah menerima notis janji temu hanya perlu hadir 15 hingga 30 minit sebelum masa yang ditetapkan untuk janji temu dan mereka yang tidak menerima notis janji temu jangan pergi secara peribadi (secara walk-in),” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting, Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd. Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy, Pengurus Operasi Universiti Curtin Miri Ir Pieter Pottas, Pegawai RELA Daerah Miri Mohamad Afizi Salam dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Kapten (PA) Usman Harto. -EDISI UKAS

Share
0