PPV Bergerak Permudahkan Masyarakat Luar Bandar Dan Pedalaman Terima Suntikan Vaksin COVID-19

ISNIN, 21 JUN 2021

SEBAUH: Penularan wabak pandemik COVID-19 kini bukan sahaja di kawasan bandar malah telah merebak ke kawasan luar bandar dan pedalaman sehingga menyebabkan banyak rumah panjang dan kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, keadaan ini sangat membimbangkan dan masyarakat perlu mengambil berat terhadap keselamatan diri sendiri, keluarga dan orang lain dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). 

“Sekarang bukan masa kita menyalahkan sesiapa tetapi kita perlu menjaga diri kita, keluarga, komuniti rumah panjang, kampung dan negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Suai Niah pada Sabtu. 

Seramai 9 orang penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita kawasan Suai Niah menerima geran MRP masing-masing dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM86,500.

Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena memberitahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu akan menggunakan kaedah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak ke kawasan luar bandar dna pedalaman. 

“Di kawasan rumah panjang, kita akan menggunakan ‘Mobil Teams’. Ini kerana orang tua tidak dapat bergerak dan hanya tuai rumah akan menyediakan senarai yang perlu dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0