Seramai 7,427 Penduduk Sungai Asap Telah Terima Suntikan Vaksin COVID-19

ISNIN, 21 JUN 2021

SUNGAI ASAP: Seramai 7,427 orang atau 56.24 peratus daripada 13,206 orang penduduk di Sungai Asap dan kawasan sekitarnya telah menerima suntikan vaksin COVID-19 yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Sungai Asap sehingga Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, beliau berpuas hati dengan keadaan, proses dan pencapaian di PPV tersebut dan sasaran untuk penduduk menerima vaksin akan dapat dicapai tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke atas PPV Dewan Serbaguna Sungai Asap pada Sabtu.

Pada program tersebut seramai 516 orang penduduk telah hadir mendapatkan vaksin.

Dalam pada itu, Kennedy turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan terutamanya mereka yang di PPV Dewan Serbaguna Sungai Asap.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerjasama semua pihak seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belaga, ketua masyarakat dan ketua kaum yang telah menjayakan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.-EDISI UKAS

Share
0