7 Lagi Klinik Swasta Diluluskan, Daerah Miri Kini Mempunyai 10 PPVGP

SELASA, 22 JUN 2021

MIRI: Daerah Miri kini mempunyai 10 Pusat Pemberian Vaksin Pengamal Perubatan Am Swasta (PPVGP) selepas tujuh lagi klinik swasta diluluskan pendaftarannya sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Selasa berkata, sebelum ini hanya tiga buah PPVGP telah beroperasi dalam program vaksinasi iaitu Klinik Lee, Klinik Dyanamik dan Klinik Dr. Cheu. 

“Saya berharap ProtectHealth akan meluluskan lebih banyak klinik swasta menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Bahagian Miri  sebagai PPVGP di Daerah Miri.

“Ini sekaligus dapat merealisasikan hasrat Ketua Menteri bagi memastikan PICK tamat pada pengunjung Ogos tahun ini,” katanya, selepas mempengerusikan Mesyuarat COVID-19 Immunization Task Force (CITF) Bahagian Miri secara zoom bersama Persatuan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) Miri yang terdiri daripada klinik-klinik swasta di Daerah Miri pada Ahad.

Dalam masa sama, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berharap lebih banyak klinik swasta yang mengemukakan permohonan melalui COVID-19 Immunization Task Force (CITF) Bahagian Miri untuk dimasukan di bawah senarai Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd sebagai PPVGP di Daerah Miri. -EDISI UKAS

Share
0