ADUN Batu Danau Mahu Pastikan Proses Vaksinasi Berjalan Lancar

SELASA, 22 JUN 2021

LIMBANG: Proses Pemberian Vaksin (PPV) di dua PPV Pusat Kebudayaan Bisaya Batu Danau dan Dewan Medamit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau berjalan lancar. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, terdapat sedikit masalah di PPV Pusat Kebudayaan Bisaya Batu Danau berkaitan internet yang kurang stabil.

“Bagaimanapun, masalah internet yang kurang stabil telah berjaya diselesaikan dan kembali pulih sediakala. 

“Dalam pada itu, Pusat Khidmat DUN Batu Danau telah menyalurkan bantuan air minuman botol di kedua-dua PPV tersebut untuk keperluan petugas.

“Begitu juga lapan unit kemudahan komputer riba dan tiga set pencetak untuk kegunaan di kedua-dua PPV itu,” katanya semasa ditemu bual di Sekatan Jalan Raya (SJR) Balai Polis Limbang pada Selasa. 

Beliau turut menyatakan komitmen dan kesediaannya membantu keperluan dari masa ke semasa di kedua-dua PPV tersebut bagi memastikan proses pemberian vaksin berjalan dengan mudah dan lancar. 

Katanya lagi, beliau berharap agar semua penduduk kampung di kawasan DUN Batu Danau yang layak mendaftar dan menjalani program vaksinasi bagi mencapai Imunisasi Kelompok. 

Mengenai sumbangan Pengurusan LAKU Sdn Bhd kepada petugas SJR, Paulus mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan bagi keselesaan petugas barisan hadapan. 

“Saya mengalu-alukan agensi lain yang ingin menyampaikan sumbangan kepada petugas di barisan hadapan. 

“Sumbangan bukan sahaja disalurkan kepada petugas di SJR tetapi di setiap PPV yang ada di Daerah Limbang,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0