ATM Mulakan PICK Di Pedalaman Ba’kelalan

SELASA, 22 JUN 2021

BA’KELALAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Combat Medic Vaccination Team Angkatan Tentera Malaysia (CMVT ATM) telah membantu membawa 1,000 dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac bagi keperluan penduduk di Ba’kelalan dan Long Semadoh. 

Operasi ini lanjutan daripada pengumuman Menteri Kanan Pertahanan Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob semasa Sidang Media di Kem Muara Tuang pada Sabtu lepas. 

Helikopter ATM yang membawa kotak vaksin dan alatan perubatan itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada jam 9.00 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Ba’kelalan pada jam 10.01 pagi. 

Seramai 9 orang anggota ATM termasuk dua orang pegawai perubatan dan tujuh petugas paramedik akan menjalankan tugas memberi suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Buduk Nur dan PPV Long Semadoh. 

Pasukan Perubatan ATM yang diketuai Dr. Amir Syahami Mohd Zainal Abidin akan bertugas sepanjang lapan hari bermula 22 hingga 27 Jun 2021 melibatkan penduduk Ba’kelalan dan Long Semadoh dengan sasaran lebih 1,000 penerima vaksin. 

Kolaborasi formasi 1 Divisyen bersama Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pemberian vaksin di PPV Ba’kelalan dan PPV Long Semadoh akan dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan pendalaman seterusnya membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Sarawak. -EDISI UKAS