SELASA, 22 JUN 2021
MIRI: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Eastwood Valley dan PPV Dewan Universiti Curtin (Dewan Dato Permaisuri) memerlukan penambahbaikan segera bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selesa dan berjalan lancar.
Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata ini selepas jumlah penerima vaksin COVID-19 bertambah dan operasinya dilanjutkan sehingga malam.
“Keadaan proses pemberian vaksin agak sesak berikutan dengan penambahan jumlah dos secara mendadak.
“Oleh itu, JPBB Miri mencadangkan dengan menambahbaikan susun atur dan pengubahsuai dengan segera untuk menampung kapasiti yang meningkat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 di PPV COVID-19 Eastwood Valley dan PPV Dewan Universiti Curtin (Dewan Dato Permaisuri) pada Selasa.
Dalam pada itu, JPBB Miri telah menerima cecair sanitasi yang didermakan oleh sebuah syarikat tempatan di PPV dan ianya telah diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri untuk mensanitasikan Dewan Universiti Curtin.
Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menambah, JPBB Miri juga meminta pengurusan kedua-dua PPV itu menambah fasiliti sedia ada supaya keadaannya bertambah baik.
“Pihak pengurusan premis juga diminta memberikan kerjasama untuk menambahkan fasiliti seperti kerusi, khemah dan sebagainya.
“Ini bagi memberi keselesaan kepada orang ramai agar dalam masa yang sama garis panduan (SOP) pencegahan COVID-19 dapat dipatuhi dengan baik dan ketat,” tambahnya.
Secara keseluruhan, JPBB Miri telah pun mempertingkatkan keupayaan PPV di Bahagian Miri dengan menambah kemudahan dan pengoperasian demi keselesaan masyarakat.
Hadir sama Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pemangku Pegawai Daerah Miri Geraldine Janely Doris Anak Peter Kulai dan wakil agensi di dalam JPBB Miri. -EDISI UKAS