Masih Ramai Masyarakat Di Bintulu Tidak Patuhi SOP PKP, Tiada ‘Walk In’ Vaksin Di Poliklinik Bintulu

SELASA, 22 JUN 2021

BINTULU: 11 individu termasuk pekerja warga asing telah dikenakan kompaun atas kesalahan tidak mengimbas MySejahtera, tidak memakai pelitup muka dan  mengadakan mesyuarat secara terbuka serta dua lagi premis atas kesalahan membenarkan pekerja turun bekerja melebihi 30 peratus.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang berkata, masih ramai di kalangan masyarakat masih tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) biarpun kes di Bintulu memperlihakan peningkatan.

“Masih ramai yang tidak mematuhi SOP walaupun kes di Bintulu memperlihakan peningkatan. 

“Walaupun masyarakat sibuk dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi semua syarikat ataupun kilang-kilang perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Mjalis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Industri Kemena pada Isnin. 

Keseluruhan jumlah kompoun yang dikeluarkan dalam operasi itu sebanyak RM39,000.

Dalam perkembangan lain, Dr. Melvin menegaskan tidak terdapat ‘walk in’ untuk mendapatkan vaksin di Poliklinik Bintulu dan berharap masyarakat tidak menyebarkan berita palsu tersebut bagi menggelakkan orang ramai datang beramai-ramai dan menyebabkan poliklinik tersebut menjadi sesak.

“Kita mengutamakan mereka yang mendaftar dengan MySejahtera di mana mereka yang terlepas temu janji dan mempunyai temu janji khas di bawah Klinik Kesihatan selain daripada itu kita masih mengikut temu janji yang dikeluarkan oleh MySejahtera. 

“Diharap sesiapa di luar serta orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang palsu bagi mengelak kesesakan di Klinik Kesihatan Bintulu,” ujarnya. 

Hadir sama Pegawai Epidemiologi, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Azlan Arif Bolen, wakil Polis Di Raja Malaysia (PDRM), wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wakil Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). -EDISI UKAS

Share
0