Perkhidmatan Bas Henti-Henti Ke PPV Di Daerah Miri Diperluaskan

SELASA, 22 JUN 2021

MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak telah mengadakan perbincangan dengan syarikat bas henti-henti di Bahagian Miri dengan menyusun semula jadual bas ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dihubungkan ke laluan bas yang ada.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Selasa berkata, pihaknya juga turut mengadakan perbincangan dengan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak bagi mendapatkan persetujuan dan membolehkan syarikat bas henti-henti ini beroperasi dari laluan sedia ada dan diluluskan ke PPV terdekat.

“Perkhidmatan pengangkutan yang disediakan oleh syarikat bas henti-henti itu menghubungkan laluan yang telah diluluskan ke PPV.

“Program ini dilaksanakan di bawah Tarif Tambang Bas Kementerian Pengangkutan Sarawak bernilai RM1.00.

“Ini akan membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi orang ramai dan mempercepat proses vaksinasi di Bahagian Miri,” katanya sebagai menjelaskan isu bertajuk Enquiries Show Demand for Free Rides Services for COVID Vaccination yang telah disiarkan di akhbar Borneopost bertarikh 22 Jun 2021 pada Selasa. 

Datuk Lee yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri memberitahu tiga buah syarikat bas henti-henti perkhidmatan akan mengadakan perkhidmatan pengangkutan ke PPV Universiti Curtin.

“Bagi perkhidmatan bas ke PPV Universiti Curtin di Miri, syarikat bas seperti Miri Belait Transport, Miri City Bus dan Miri Transport Company akan menyediakan perkhidmatan di sepanjang Laluan 66 dan akan menurunkan penumpang di Hentian Bas Perkasa Utama di sepanjang Lorong Perkasa (yang selari dengan Jalan Desa Senadin). 

“Dalam pada itu juga perkhidmatan bas ke Universiti Curtin diadakan dengan ulang alik di Perkasa Utama,” ujarnya. 

Beliau turut berterima kasih kepada Universiti Curtin kerana menyokong inisiatif vaksinasi COVID-19 di Miri dengan menyediakan tempat untuk perkhidmatan PPV dan perkhidmatan ulang-alik dari Hentian Bas Utama di Lorong Perkasa dan Jalan Desa Senadin melalui Jalan Ilmu ke PPV di Universiti Curtin. -EDISI UKAS

Share
0