Program Imunisasi COVID-19 Di Sarawak Masuk Fasa Ketiga, Individu 18 Tahun Ke Atas Layak Terima Vaksin

SELASA, 22 JUN 2021

SERIAN: Program Imunisasi COVID-19 di Sarawak kini memasuki fasa ketiga dengan individu yang berusia 18 tahun ke atas akan diberi suntikan vaksin secara percuma.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat 21 Jun lepas jumlah rakyat yang telah divaksin di seluruh negeri ini adalah seramai 855,749 orang penerima.

Menurutnya, fasa pertama program itu di negeri ini adalah untuk petugas barisan hadapan, sementara fasa kedua adalah untuk kumpulan berisiko tinggi seperti mereka yang mempunyai komorbiditi dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Mulai hari ini (Selasa), semua rakyat yang berusia 18 tahun ke atas boleh melakukan pemeriksaan berdasarkan temu janji mereka,” katanya semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Serian di sini pada Selasa.

Taklimat perkembangan Program Imunisasi COVID-19 di Bahagian Serian telah disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Serian merangkap Ketua CITF Bahagian Serian, Dr Edmund Shin.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, terdapat beberapa jenis PPV dan antaranya PPV Awam seperti mana yang ada sekarang dan PPV Industri.

Jelasnya, PPV Industri yang telah diluluskan adalah di Bintulu dan dibiayai oleh syarikat berkenaan untuk para pekerjanya, manakala PPV Awam dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Pekerja tidak perlu membayar apa-apa kerana vaksin dibekalkan oleh kerajaan manakala pengurusan serta kos persiapan PPV Industri dibiayai oleh syarikat itu sendiri.

“Jadi, saya berharap dengan adanya pertambahan PPV Industri, ia akan mempercepatkan proses vaksinasi di kalangan pekerja industri,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, kumulatif suntikan dos vaksin di Serian adalah seramai 33,193 orang penerima.

Selepas meluangkan masa melawat PPV, Serian beliau bersama rombongan telah ke Depot Tahanan Imigresen Semuja bagi penyerahan projek siap.

Antara projek itu ialah baik pulih Dewan Terbuka di Pusat Tahanan Sementara Orang Kena Tahan (OKT) yang bernilai RM495,000 dan baik pulih Mes Pegawai yang bernilai RM198,000.

Kedua-dua projek bermula pada 22 Februari lepas dan siap sepenuhnya pada 21 Mei 2021.

Turut hadir mengiringi rombongan ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Duta Khas Perdana Menteri Ke Asia Timur (Jepun, Korea Selatan dan Taiwan) merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri (Dr) Richard Riot Jaem, ADUN Bukit Semuja, John Ilus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, (Transformasi Luar Bandar) Datu Ik Pahon Joyik, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Amir Omar, Residen Bahagian Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian, Tuah Suni, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak, Datu Ken Leben serta pegawai-pegawai kerajaan lain. -EDISI UKAS