SELASA, 22 JUN 2021
LUNDU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyumbangkan barangan keperluan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lundu dan PPV Sematan.
Antara keperluan tersebut adalah cecair pembasmi kuman, tiga buah kerusi roda untuk kegunaan PPV Sematan, kipas angin, pelitup separuh muka dan keperluan lain masing-masing bernilai RM5,000.
Mewakili beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Datin Patinggi Jamilah Anu menyerahkan sumbangan tersebut kepada PPV berkenaan pada Selasa.
Dalam program itu, Datuk Amar Jamilah turut berkongsi mengenai perkembangan terkini serta jumlah vaksinasi yang telah dicapai di daerah Lundu.
“Setakat hari ini, seramai 12,102 penduduk yang berdaftar di dalam daerah Lundu telah divaksinkan iaitu sejumlah 31.8 peratus dan sasaran bagi penduduk Lundu yang perlu divaksin menjelang Ogos 2021 adalah seramai 26,640 iaitu 70 peratus daripada populasi daerah Lundu,” katanya.
Selain itu, beliau juga mencadangkan untuk mewujudkan dua lagi PPV iaitu di Zon Biawak dan Zon Sampadi bagi mempercepatkan lagi proses vaksinasi dalam daerah Lundu.
“Ini memandangkan dengan keadaan geografi daerah Lundu yang terletak di sempadan Malaysia-Indonesia dan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di kalangan penduduk tempatan,”ujarnya.-EDISI UKAS