Bantuan Makanan Tetap Dihantar Biarpun Jalan Sukar Dilalui Akibat Tanah Runtuh

RABU, 23 JUN 2021

LIMBANG: Perjalanan ke kawasan Long Keneng bagi menghantar bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang melalui jalan berliku disebabkan insiden tanah runtuh  menyebabkan pokok tumbang di atas permukaan jalan raya.

Menurut Ketua Wanita PBB Cabang Long Napir Halin Sabin yang mengetuai pasukan penghantar makanan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau, bantuan makanan tetap dihantar walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan akibat bentuk muka bumi dan cuaca. 

“Pasukan kami telah mula berangkat dari bandar Limbang sekitar jam 3.00 pagi pada Sabtu dan selamat tiba di kawasan Long Keneng pada jam 10.00 pagi. 

“Dalam perjalanan ke Long Keneng terdapat beberapa kawasan jalan yang tidak dapat dilalui kerana insiden tanah runtuh sehingga menyebabkan pokok tumbang di atas permukaan jalan raya. 

“Atas kerjasama penduduk kampung, kami membersihkan kawasan jalan daripada pokok tumbang bagi membantu memudahkan segala kesulitan dan halangan dapat dilalui untuk sampai ke destinasi,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu. 

Sebanyak 81 pek bantuan makanan telah dihantar ke kawasan Long Keneng, Limbang iaitu Long Adang 40 pek, Long Keneng 20 pek dan Long Gita 21 pek  yang majoritinya didiami masyarakat Penan dengan menggunakan dua buah kenderaan jenis Toyata Hilux.

Mengikut perancangan asal, penghantaran bantuan makanan itu akan dihantar dengan menggunakan perkhidmatan udara, tetapi atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, penghantarannya diteruskan menggunakan jalan darat. 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang mahu bantuan makanan ini dapat dinikmati penduduk secepat mungkin memandangkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih panjang. 

“Keperluan bantuan bekalan makanan ini perlu sampai dan dinikmati oleh penduduk dalam keadaan mereka terjejas akibat penularan jangkitan COVID-19.  

“Dengan agihan bantuan makanan yang diberikan, dapatlah membantu komuniti Penan menggunakan bekalan bagi menampung keperluan harian mereka. 

“Penghantaran bantuan bekalan makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 ke Long Keneng dan ini merupakan misi terakhir sekaligus melengkapkan agihan di keseluruhan lokaliti kawasan DUN Batu Danau,” katanya. -EDISI UKAS

Share
0