10 Rumah Panjang Terima Suntikan Vaksin Di PPV Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu

KHAMIS, 24 JUN 2021

LUBOK ANTU: Sebanyak 10 buah rumah panjang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu pada Rabu.

Rumah panjang tersebut adalah Rumah Ngali, Wong Pandak; Rumah Kelvin Serdin, Wong Panjai; Rumah Engkelai, Rakut; Rumah Aing, Munggu Jabang A; Rumah Norina Bunyam, Munggu Jabang; Rumah Dagang, Gerunggang; Ensawang; Sungai Pabong; Salcra Batu Kaya dan Entugam.

Pemberian suntikan di situ mensasarkan kepada individu yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dan tiada temujanji manakala bagi individu yang sudah mempunyai tarikh temujanji adalah diarahkan untuk mengikut tarikh yang diberikan.

Program pemberian vaksin yang bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu telah berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan dan teratur.

Para petugas barisan hadapan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut ditugaskan di PPV tersebut bagi memastikan garis panduan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.-EDISI UKAS