7067 Penduduk Song Telah Divaksin, 2019 Lengkap 2 Dos

KHAMIS, 24 JUN 2021

SONG: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk Daerah Song telah berjaya memvaksinasi seramai 7067 penduduk setakat ini.

Daripada jumlah tersebut seramai 2019 penduduk telah melengkapkan dua dos manakala 5048 lagi selesai satu dos.

Program vaksinasi masih terus dipergiatkan secara bergerak di daerah itu dengan sebanyak 230 lagi dos pertama vaksin Sinovac diberikan kepada penerima bertempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Daerah Song pada Rabu.

Manakala di PPV Rumah Rehat Kerajaan Daerah Song pada hari yang sama, sebanyak 360 dos lagi vaksin diberikan kepada penduduk setempat.

Sejak dimulakan pada minggu lepas, program vaksinasi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan akan diteruskan bergantung kepada jumlah vaksin yang dibekalkan. – EDISI UKAS