Datuk Francis Harden Hollis Serah Cek MRP RM196,000 Kepada 30 Pertubuhan Di DUN Simanggang

KHAMIS, 24 JUN 2021

SIMANGGANG: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM196,000 kepada 30 pertubuhan di DUN Simanggang pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu memberitahu, penyerahan cek tersebut adalah melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang, Biro Wanita, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan JKKK Kaum Cina.

“Setiap pertubuhan dinasihatkan agar menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin dan secara telus,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Francis kemudian merasmikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Dewan Komuniti Taman Harmoni, Simanggang.

Beliau yang juga Menteri Penasihat Jabatan Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman berkata, PKRC tersebut yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM200,000 adalah bertujuan untuk menampung kapasiti rawatan COVID-19 berisiko rendah di kawasan itu.

“Kapasiti PKRC kedua ini kita menyediakan 50 katil untuk wanita dan 50 katil lagi untuk lelaki.

“Segala persediaan telah kita siapkan dan dengan rasminya dibuka pada hari ini (Rabu),” ujarnya.

Mengulas mengenai suntikan vaksin pula, beliau memaklumkan perkhidmatan doktor udara atau ‘flying doctor’ dalam perancangan untuk dilaksanakan terhadap penduduk di kawasan pedalaman Lubok Antu, Pantu dan Lingga.

“Pada masa ini program itu sedang dilakukan melalui Program Jangkauan Komuniti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sri Aman yang melibatkan seorang doktor, dua jururawat, dua penolong pegawai perubatan dan seorang pembantu perawatan kesihatan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk mengemukakan nama penduduk yang tercicir daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebelum ini di Pejabat Daerah Sri Aman. –EDISI UKAS