KHAMIS, 24 JUN 2021
MIRI: Guru dan penduduk yang berumur 50 tahun ke atas di Daerah Miri yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 digesa segera berbuat demikian.
Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, mereka boleh berhubung terus dengan JPBB Miri untuk tindakan seterusnya.
“Semua guru dan penduduk di Daerah Miri yang berumur 50 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 atau pun sudah mendaftar tetapi masih belum menerima notifikasi temu janji vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera boleh berhubung terus dengan JPBB Miri.
“Mereka boleh menghubungi JPBB Miri melalui Whatsapp di nombor 011-59284348 atau 011- 59424290 dengan menyertakan butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat lengkap untuk tujuan dikoordinasikan oleh JPBB Miri,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Tambah Datuk Lee lagi, penduduk Daerah Miri yang menerima temu janji di luar Daerah Miri dan ingin meminda lokasi PPV, boleh berhubung dengan JPBB Miri melalui whatsapp ke nombor yang sama.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) membantu mengumpul maklumat berhubung dengan mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas dan menghantar maklumat tersebut ke Pejabat Daerah masing-masing
“Bagi persatuan yang berdaftar juga diminta untuk menyebarkan maklumat tersebut di atas kepada ahli-ahli mereka dan boleh menghantar butiran ahli-ahli mereka ke Pejabat Daerah masing-masing yang akan menyelaras dan menghantar senarai nama ke Pejabat Kesihatan untuk mengatur vaksinasinya.
“Sementara itu, mana-mana guru yang belum mendapat vaksinasi, boleh menghantar maklumat seperti di atas kepada Pejabat Daerah masing-masing untuk tindakan susulan bagi mendapatkan vaksin,” ujarnya. -EDISI UKAS