Perkhidmatan Bas Awam Ke PPV Di Bandaraya Miri Kini Mula Beroperasi

KHAMIS, 24 JUN 2021

MIRI: Perkhidmatan bas awam ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bandaraya Miri mula beroperasi pada Rabu. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata program yang telah dilancarkan Kementerian Pengangkutan Sarawak itu turut membabitkan pengusaha bas henti-henti di Bandaraya Miri dengan laluan perjalanan bas diteruskan ke lokasi PPV sekitar Bandaraya Miri.

“Perkhidmatan bas awam terus ke lokasi PPV ini adalah untuk memudahkan orang ramai. 

“Hari ini saya bersama-sama dengan JPBB Miri akan mencuba sendiri perkhidmatan bas ke PPV yang paling jauh di sini iaitu ke PPV Dewan Universiti Curtin untuk melihat laluan serta masa yang diambil ke PPV tersebut. 

“Orang ramai yang ingin ke PPV Dewan Universiti Curtin boleh menunggu bas di sini yang ditandakan No. 66 dan tertera Universiti Curtin,” katanya. 

Tambah Datuk Lee lagi, untuk penerima vaksin yang akan ke PPV Dewan Universiti Curtin, mereka akan diturunkan ke perhentian bas di Jalan Perkasa dan akan menaiki sebuah lagi bas yang disediakan Universiti Curtin.

“Untuk ke PPV Dewan Curtin University, penerima vaksin akan diturunkan di perhentian bas di Jalan Perkasa Utama sebelum menaiki bas yang disediakan Curtin University untuk memasuki kawasan kampus (PPV). 

“Seterusnya mereka akan diturunkan di laluan masuk PPV setibanya di PPV Dewan Curtin University. Masa perjalanan perkhidmatan bas telah ditetapkan, begitu juga dengan PPV Awam dan PPVHS yang lain, perkhidmatan bas awam turut disediakan,” tambahnya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melakukan tinjauan bersama JPBB Miri dengan menaiki bas awam dari Stesen Bas Wisma Pelita Tunku Miri (Jalan Padang) ke PPV Dewan Univerisiti Curtin pada Rabu. 

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak kerana memberikan kelulusan sementara laluan baru ini khas untuk program vaksinasi sehingga 31 Ogos 2021 nanti dan syarikat bas yang turut serta dalam menjayakan perkhidmatan bas ke PPV ini.

“Perkhidmatan bas awam ini diatur khas kepada penumpang yang ingin ke tempat vaksinasi kerana kita faham ada yang mempunyai masalah pengangkutan. 

“Inilah usaha kerajaan kita dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan (PICK) di samping memudahkan lagi orang ramai mendapatkan vaksinasi,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, Datuk Lee turut menyaksikan penyampaian sumbangan berupa 100 karton air mineral bagi kegunaan di PPV Dewan Universiti Curtin yang disumbangkan dua syarikat kontraktor di bawah Majlis Bandaraya Miri (MBM) iaitu Rhino Gaya Trading Co. dan Yong Construction yang disampaikan Allen Tiong Ing Heng mewaklili kedua-dua syarikat tersebut. 

Hadir sama Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Ketua Operasi Universiti Curtin Ir. Pieter Pottas, wakil Pemangku Residen Bahagian Miri Arshad Shamsu, waki Pemangku Pegawai Daerah Miri Edward Tawang dan Penyelaras PPV Dewan Universiti Curtin Dr. Hiew Sing Yee. -EDISI UKAS

Share
0