Permohonan Rayuan BPR Di Sarawak & Sabah Boleh Dikemukakan Melalui Kemudahan Kotak Serahan

KHAMIS, 24 JUN 2021

KUCHING: Pemohon rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan rayuan secara dalam talian di Sarawak dan Sabah boleh mengemukakan permohonan melalui kemudahan Kotak Serahan (Drop Box).

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam kenyataan media pada Khamis berkata, inisiatif tersebut diambil bagi memudahkan pemohon yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan rayuan secara dalam talian.

Kata LHDNM, ia sekaligus dapat membantu mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam mengekang penularan COVID-19 kerana larangan merentas daerah.

Tambah LHDNM, kotak serahan tersebut akan disediakan di pejabat Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM serta di Pejabat-Pejabat Daerah yang berhampiran sehingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR iaitu pada 30 Jun 2021.

Jelas kenyataan tersebut, melalui kaedah itu, pemohon hanya perlu meletakkan borang rayuan BPR yang lengkap berserta dokumen sokongan berkaitan ke dalam kotak serahan yang disediakan mengikut waktu operasi pejabat-pejabat yang dinyatakan.

Untuk makluman orang awam, waktu operasi kaunter permohonan rayuan BPR di Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil LHDNM dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah melalui janji temu sahaja di portal rasmi BPR dari jam 8.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari iaitu berdasarkan hari bekerja di setiap negeri.

Untuk maklumat lanjut berkaitan permohonan rayuan, sila layari portal rasmi BPR iaitu di https://bpr.hasil.gov.my .-EDISI UKAS

Share
0