200 Penduduk Matu Lengkapkan Pengambilan Vaksin

JUMAAT, 25 JUN 2021

MATU: Seramai 200 penduduk di Matu melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 selepas menerima dos kedua di Dewan Suarah Matu pada Jumaat.

Kebanyakan penerima adalah Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Tuai Rumah, AJK Masjid dan Surau Daerah Matu, kakitangan agensi sekitar Matu serta beberapa orang awam.

Tidak seperti dos pertama, proses pemberian dos kedua berjalan lancar serta cepat dan tamat sekitar jam 12.30 tengahari.

Wartawan UKAS di lapangan sempat menemubual beberapa penerima yang jelas teruja setelah mendapat sijil Digital di aplikasi Mysejahtera.

Mereka turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas usaha memberi vaksin percuma kepada rakyat terutama di kawasan ini.

Tidak kurang juga yang merakamkan terima kasih kepada petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ini atas layanan yang amat baik sejak pemberian dos pertama.

Malah ada yang menyarankan kepada yang belum berdaftar untuk menerima vaksin agar segera mendaftar di Pejabat Daerah Matu. – EDISI UKAS