2,535 Rumah Di Daerah Trusan dan Sundar Terima RM1.7 Juta Bantuan Ihsan Khas

JUMAAT, 25 JUN 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak telah memperuntukan RM1.7 juta Bantuan Ihsan Khas untuk diagihkan kepada 2,535 rumah di Daerah Trusan dan Sundar yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan Bantuan Ihsan Khas itu sebaik mengetahui kejadian banjir yang berlaku dan kesan kepada penduduk yang terjejas. 

Katanya, daripada jumlah itu 1,255 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari dan 1,280 rumah lagi di kawasan DUN Ba’kelalan. 

“Kita bersyukur apabila Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari bersetuju memberikan Bantuan Ihsan Khas kepada penduduk yang terkesan akibat banjir.

“Kesan banjir yang berlaku itu serius sehingga menjejaskan kerosakan harta benda dan tanaman serta kemudahan awam,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Sumbangan Ihsan Khas Banjir Kawasan Trusan dan Sundar di Pejabat Daerah Kecil Trusan, Lawas pada Khamis.

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), Bantuan Ihsan Khas ini diserahkan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). 

Mengulas mengenai proses vaksinasi di Daerah Lawas, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari meminta masyarakat di Daerah Trusan mendaftar dan mengambil suntikan vaksin COVID-19. 

“Masih ramai masyarakat di Daerah Trusan dan Lawas yang belum mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19 dan berharap masyarakat mengambil peluang ini untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19. 

“Di Daerah Trusan, penduduk boleh datang terus atau ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Trusan untuk mendapatkan suntikan vaksin. 

“KMKK perlu mengambil peranan ini dengan menggesa dan mengarahkan penduduk di bawah selian masing-masing mendaftar dan mendapat vaksin COVID-19,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Dr Farida Nazahiya Mohd Salleh. -EDISI UKAS

Share
0

add comment