Dato Sri Fatimah Tinjau Pusat Kargo, Cari Strategi Sekat Masuk Dadah Dan Substance Ke Sarawak

JUMAAT, 25 JUN 2021

KUCHING : Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah pada Jumaat telah melawat Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi meninjau proses penerimaan kemasukan barangan di pusat tersebut.

Tinjauan beliau turut disertai Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti,Datuk Francis Harden Hollis, Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Sarawak,Herman Shah Abdullah, Pengarah Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak,Iskandar Turkee, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sarawak,ASP Jasmirol Jamaluddin serta Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial,Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah.

Dato Sri Fatimah dan rombongan telah mengambil maklum mengenai peningkatan jumlah rampasan dadah yang melibatkan kemasukkan dan penyeludupan melalui perkhidmatan kurier dan kargo di lapangan terbang dan pelabuhan utama di Sarawak. 

Menurut Dato Sri Fatimah, menerusi lawatan itu juga memberi peluang kepada ahli-ahli One Stop Committee Menangani Isu Dadah Dan Substance (OSC MIDS) Sarawak untuk memahami risiko kemasukan dadah dan substance ke Sarawak melalui kargo sekaligus mencari strategi penyelesaian untuk menyekat kemasukan atau penyeludupannya ke Sarawak.

Beliau menambah, ia dalam masa yang sama memberi input kepada OSC MIDS Sarawak untuk melakukan persediaan taklimat berkenaan usaha menangani isu berkenaan di Sarawak kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 1 Julai 2021 kelak. 

Turut sama, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,Ir Jus Iskandar Murshid dan Pengurus MAS Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,Muhammad Khairul Mod Noor. -EDISI UKAS